BaIu Allahyarham Bekas Mufti Perak Tan Sri Harussani, MeninggaI Dunia


Balu Allahyarham bekas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Puan Sri Ainon Abdul Ghani, 82, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini hari ini.

Berita itu disahkan anak Harussani, Datuk Ahmad Wafi.

Menurut beliau, ibunya meninggal dunia kira-kira pukul 3 petang tadi semasa dibawa ke hospital berkenaan kerana demam.

“Ibun meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini pagi esok,” katanya.

Allahyarham Harussani meninggal dunia pada 30 Mei tahun lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana positif Covid-19.

Allahyarham Harussani meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Pemergian Allahyarhamah turut dikongsi oleh sahabat beliau

Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un

Puan Sri merupakan bekas guru dan menjadi tangan kanan Tan Sri. Puan Sri bukan saja peneman, pendorong malah ‘pengkritik tetap’ Tan Sri.

Satu kenangan menarik bersama Puan Sri apabila aku berkesempatan berdampingan dengan Puan Sri agak lama ketika lawatan kerja Tan Sri ke Sabah pada beberapa tahun lalu. Memang Puan Sri sentiasa ada di samping Tan Sri tak kira masa. Berkepit saja ke mana-mana.

Dalam satu lawatan kerja kami di Kota Belud, Tan Sri dijemput merasmikan sebuah sekolah tahfiz di situ. Asalnya Tan Sri hanya hadir untuk merasmikan sahaja, namun agaknya kerana terkejut apabila Tan Sri benar-benar hadir, mudir sekolah tahfiz tadi merayu agar Tan Sri dapat memberikan syarahan kepada para hadirin yang terdiri daripada para penduduk kampung.

Kalau untuk dakwah, Tan Sri sememangnya tidak menghampakan harapan tuan rumah, meskipun beliau sendiri sudah keletihan kerana jadual yang padat sebelum itu.

Namun letih tak letih pun, Tan Sri hayun mikrofon tu dekat sejam jugak. Itulah booster untuk Tan Sri, penat macam mana pun dia, kalau dihulur mikrofon, dia akan bertenaga kembali.

Ketika syarahan itu berlangsung, aku duduk sebelah Puan Sri. Puan Sri mula berseloroh “Tu tengok berapa lama dia nak ceramah”. Aku kaget seketika, kenapa pulak Puan Sri main acah-acah gini.

Rupa-rupanya Puan Sri buat ulasan selari mengenai syarahan Tan Sri. “Ha benda ni dia selalu cakap”, “Yang ni tak pernah dengar dia cakap”, “Yang ni dia cakap sampai Mahathir pernah marah dulu”, macam tu lah dia punya kupasan. Aku pun mengangguk saja, ooo macam tu.

Melepasi 40 minit, Puan Sri pun komen “Ha tengoklah orang tua ni, bercakap bukan main panjang lagi. Dia ingat orang suka ke dengar dia bercakap panjang-panjang tu. Ini selagi boleh cakap dia nak cakap, dia tu mufti, manalah ada orang berani suruh dia berhenti. Saya dah cakap banyak kali dah, bla bla bla…”

Wah Puan Sri ni betul-betul pengkritik tetap mufti. Dia observe penyampaian suami dia dan bagi komen-komen membina. Betullah orang kata, hanya isteri ustaz je yang kenal siapa ustaz, huhu.

Selain pengkritik tetap Tan Sri, Puan Sri juga turut mengetahui semua cerita Tan Sri “dikacau hantu” sebab di mana Tan Sri menginap dan tidur, Puan Sri ada. Jadi koleksi cerita hantu Tan Sri turut dimiliki oleh Puan Sri. Sayang koleksi cerita hantu itu tidak dapat ‘dibukukan’ kerana ceritanya menarik-menarik belaka. Kelakar pun ada.

Kekuatan Tan Sri yang kita kenali sebagai seorang mufti dan pendakwah dalam liganya yang tersendiri, sebenarnya turut berpunca dari sokongan dan dorongan yang berterusan oleh Puan Sri.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa almarhumah.

Sumber : kosmo/fb