“Nasib Tak Bertembung, Nak Potong Tapi Tak Lepas”


Tindakan pemandu Toyota Hilux mahu melepasi sebuah treler di hadapannya dengan memotong garisan berkembar mengundang bahaya apabila nyaris berlanggar dengan kenderaan di laluan bertentangan.

Video perbuatan pemandu itu dimuat naik seorang pengguna pada Facebook Dashcam Owners Malaysia dengan lokasi kejadian di Janda Baik, Pahang.

Pemilik rakaman video itu membunyikan hon dan terpaksa mengundur kenderaannya bagi memberi laluan kepada pemandu Toyota Hilux melepasi treler tersebut.

“Woi ada anak belakang, gila apa. Anak saya jatuh bang, anak tidur belakang. Ingat nyawa orang bang,” kata lelaki tersebut kepada pemandu Toyota Hilux.

Menjengah ke ruangan komen, netizen mengecam perbuatan pemandu itu yang membahayakan nyawa pengguna lain serta mencadangkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Lapor polis dan buat laporan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Biar lesen dia kena tarik, orang macam ini tak boleh memandu di jalan raya. Membahayakan nyawa orang lain dan itu gunanya dashcam sebagai bukti,” cadang seorang netizen.

“Buat aduan ke JPJ bang, gunakan aplikasi nanti JPJ akan hantar surat temu siasat dan kena saman,” kata netizen yang lain.

-KOSMO! ONLINE