Kisah Hidup Allahyarham Pak Bakar, Jururawat Lelaki Terawal Di Malaysia Yang Jarang Diketahui Umum


Pak Bakar atau nama sebenar beliau Bakar bin Saad merupakan antara jururawat lelaki yang terawal di Malaysia. Beliau merupakan lulusan Diploma Kejururawatan dari Saint Albans City Hospital, London pada tahun 1967.

Pak Bakar memulakan kerjaya sebagai jururawat setelah melihat iklan di New Straits Times pada tahun 1967. Iklan menyatakan latihan Jururawat tersebut akan di taja oleh British Council.

Beliau memulakan latihan jururawat di Saint Albans City Hospital, Hertfortshire yang kira-kira hanya 50 kilometer dari London. Setelah tamat latihan selama 3 tahun, beliau bertugas sebagai jururawat di Hospital Saint Paul, London dari tahun 1970 hingga 1973. Kemudian beliau bertugas pula sebagai Jururawat Industri di Nuclear Power Group Hospital di Glasgow, Scotland.

Pada tahun 1974, beliau kembali ke tanah air untuk bekerja sebagai Jururawat Lelaki. Tetapi sebelum itu beliau juga pernah bertugas sebagai kerani di Jabatan Haiwan dan guru sandaran.

Sebagai Jururawat Lelaki, beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1980, beliau mendirikan rumah tangga dengan Rosmurni Murad, juga seorang jururawat.

Perkahwinan beliau dikurniakan dengan 2 orang cahaya mata iaitu Sabreena yang merupakan seorang Majistret dan Suziana iaitu seorang Pegawai Peperiksaan dan beliau juga dikurniakan dengan seorang cucu.

Pada 1995, Pak Bakar dinaikkan pangkat menjadi Sister (Ketua Jururawat). Beliau berkhidmat lebih 30 tahun dalam bidang kejururawatan seterusnya beliau juga pernah berkhidmat sebagai Clinical Instructor (CI) di beberapa buah kolej jururawat swasta. Antaranya di Institut Sains Kesihatan Bersekutu Bukit Merah (Nama sekarang Kolej Lake View).

Beliau juga terkenal dengan karenah yang suka bergurau dalam serius. Ada sahaja pertanyaan yang akan diajukan kepada jururawat yang datang berjumpa dengan beliau. Banyak pengalaman lucu sepanjang beliau bertugas sebagai jururawat, antaranya beliau pernah menerima set uniform jururawat berserta kasut tumit tinggi.

Sepanjang perkhidmatannya, Pak Bakar telah menerima Pingat Cemerlang Kedah (P.C.K) di peringkat negeri daripada DYMM Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan di peringkat persekutuan beliau telah menerima Pingat Pangkuan Negara (P.P.N) daripada DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Pada 13 Disember 2019, Pak Bakar telah kembali ke rahmatullah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Jɛnazah arw4h telah dikɛbumikan di Tanah Perkvburan Hj Mohd Sharif Kg Budiman, Klang.

Pak Bakar merupakan antara Jururawat lelaki yang terawal di negara kita, maka tak salah kalau beliau dinobatkan sebagai Tokoh Jururawat Malaysia.

Besar jasa beliau dalam dunia kejururawatan terutamanya dalam sejarah Jururawat Lelaki di Malaysia. Semoga Ilmu yang dicurahkan, perasaan sabar melayan karenah pesakit menjadi amalan yang dibawa ke sana.

Al-Fatihah, semoga arwah Pak Bakar ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Sumber The Inspirasi.