‘Dipalau’ keluarga madu, isteri kedua kecewa dihalang tengok jenazah suami


Soal jodoh itu di tangan Allah SWT. Tapi sekiranya seseorang itu ditakdirkan hidup bermadu, tidak semua pihak boleh menerima wanita tersebut untuk menjadi ahli keluarga mereka atas sebab-sebab tertentu.

Situasi seperti itu perit untuk dihadapi oleh seorang wanita ini yang juga bergelar isteri kedua apabila suaminya Tajudin Mahmood meninggal dunia pada 23 Mac lalu dipercayai di Punggol, Singapura.

Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, wanita menggunakan nama @lena_lynn itu mendakwa dia dihalang oleh keluarga suaminya ketika mahu menziarahi jenazah Allahyarham buat kali terakhir.

Dosa ke jadi isteri kedua?

@lena_lynn mendakwa, dia sudah menjaga suaminya itu bagai menatang minyak yang penuh namun tidak dibenarkan masuk ke rumah keluarga Allahyarham meskipun cuba berbincang dengan cara baik.

“Saya tidak dibenarkan masuk jejak ke dalam melihat jenazah suami. Saya yang banyak jaga suami. Mereka tak pedulikan kami langsung. Keluarga saya sentiasa di sisi.
“Yang lain pemerhati je. Padahal semua tahu saya ni isteri kedua arwah. Zalim, fitnah dan ghibah tentang suami dan saya,” luahnya.

Berdasarkan satu video lain yang dimuat naik sebelum ini, @lena_lynn dilihat berada di tanah perkuburan dengan menulis kapsyen meluahkan kesyukuran apabila akhirnya dapat mencium jenazah suaminya.

Dapat cium di kubur sebelum dikebumikan

“Alhamdulillah, pak Imam ni yang bagi saya rezeki luar biasa dapat cium jenazah suami dengan persetujuan anak nombor pertama di tanah perkuburan kerana saya dihalang masuk ke rumah untuk ziarah arwah,” tulisnya.

Meninjau ke ruangan komen, ramai tumpang simpati dengan nasib menimpa wanita berkenaan namun mereka lebih memilih untuk mengetahui cerita daripada kedua-dua belah pihak agar boleh mengelakkan sebarang fitnah.

Mungkin isteri pertama terluka?

Tak tahu cerita sebenar, kena dengar dua2 pihak

Suami tu bukan hak kita, tabah la sis

Sumber: TikTok @lena_lynn