Innalillahiwainnailaihirojiun, sempat ajar anak mengucap.. sem0ga tenang disana. Takziah buat ahli keluarga


DUA sahabat maut selepas motosikal yang ditunggangi secara berasingan dirempuh kereta yang terbabas di KM 12 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor dekat Kampung Pasir Puteh.

Dalam kejadian kira-kira 7.24 pagi itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat, Siti Nor Hanim Alya Hamid, 17, maut di tempat kejadian, manakala rakannya, Nor Asmida Ellyana Abdullah, 17 tahun meninggal dunia di Hospital Tumpat.

Seorang lagi mangsa, Puteri Balqis Abdullah, 13, yang juga adik kepada Nor Asmidar, parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Bapa kepada Siti Nor Hanim, Hamid Sulong, 63, berkata, anaknya ke sekolah pada 7 pagi tadi dan sempat bersalam dengannya.

“Selalunya saya yang akan menghantar dan menjemputnya ke sekolah tapi pagi tadi dia meminta izin untuk menunggang sendiri motosikal kerana ingin pulang awal ke rumah.

“Saya membenarkannya sambil berpesan supaya menunggang dengan berhati-hati, namun ini yang berlaku… saya terima dengan reda,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tumpat.

Hamid berkata, dia dihubungi jiran mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu dan bergegas ke lokasi sebelum melihat anaknya dalam keadaan parah tapi masih bernyawa di dalam longkang.

“Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum anak menghembuskan nafas terakhir di sisi,” katanya.

Menurutnya, anak ke-14 dari 16 beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sempat menemaninya makan colek tengah malam tadi.

“Saya berasa ingin makan colek kerang dan mengajak Hanim makan di sebuah kedai makan di Chabang Empat, manakala dia pula memesan colek ayam sebelum kami pulang ke rumah di Kampung Nechang,” katanya.

Ibu kepada dua mangsa lagi, Nor Asmawati Ismail, 34, berkata, kejadian yang menimpa dua anaknya itu sangat mengejutkannya yang baharu pulang bekerja dari kedai makan pagi tadi.

“Saya tiba ke rumah dari tempat kerja pada 7.20 pagi dan memang tidak sempat berjumpa dengan dua anak yang sudah pergi ke sekolah dengan menunggang motosikal .

“Saya hanya mengetahui perkara itu apabila jiran datang ke rumah dan memberitahu kejadian yang menimpa anak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa menunggang motosikal Honda Desh dan Yamaha Ego S dari arah Pengkalan Kubor menghala ke sekolah di Chabang Empat.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta Honda Accord yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan lalu merempuh mangsa.

“Akibat kemalangan itu seorang mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Tumpat.

“Pembonceng motosikal yang parah dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Katanya, pihaknya sedang menjejaki pemandu kereta yang merempuh tiga pelajar terbabit.

“Pemandu kereta itu menghilangkan diri selepas kejadian dan meninggalkan kenderaannya sejauh kira-kira 150 meter dari tempat kejadian kerana mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber: HMetro