Bapa Amylea meninggal dunia
Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, 34, berkongsi berita duka atas pemergian bapanya, Allahyarham Azizan Zainal Abidin, 62, di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.
Amy menerusi hantaran di Instagram turut memohon warganet sedekahkan bacaan surah al-Fatihah dan doa kepada Allahyarham bapanya.
"Assalammualaikum, ayah saya yang dicintai dan dikasihi telah meninggalkan kami semua buat selama-lamanya. Mohon sedekahkan doa buat Azizan Zainal Abidin.
"Dia adalah seorang suami, ayah yang sangat-sangat baik dan bertanggungjawab. Sama-sama kita doakan rohnya dalam kalangan mereka yang beriman," tulisnya.
Amylea berkata, selain doa, dia juga memohon orang ramai yang mengenali bapanya memaafkan kesilapan serta menghalalkan makan dan minum.
"Saya sudah kehilangan dia buat selama-lamanya. Tidak ada rasa sakit yang lebih besar daripada kehilangan ayah dan ibu.
"Allah saja yang tahu dugaan demi dugaan. Ayah saya adalah kurniaan Allah kepada saya dan saya bersyukur kerana memiliki ayah yang hebat. Terima kasih Allah untuk beberapa tahun yang diberikan kepada saya. Terima kasih kerana menjadikan saya anak perempuannya, saya sangat bangga dengannya. Saya sangat mencintainya," tulisnya.
Amylea mengakui begitu banyak budi bapanya yang masih belum dibalas.
Semalam, Amylea menerusi hantaran di Instagram memaklumkan keadaan kesihatan bapanya yang mengalami masalah jantung sejak dua tahun lalu semakin merosot.
Penyanyi lagu Tak Pernah Hilang ini juga memberitahu peluang bapanya untuk kembali sembuh adalah tipis.
Bapa Amylea dimasukkan ke IJN untuk rawatan lanjut sekitar seminggu lalu.
Baru-baru ini, Amylea dan keluarga berjaya mengumpulkan wang untuk rawatan bapanya menerusi sumbangan orang ramai yang diperoleh selepas adik iparnya berkongsi rayuan derma kilat dalam kumpulan WhatsApp kejiranan.
Dia kemudiannya membuat perkongsian di Instagram dan dari situ Amylea dapat mengumpulkan wang yang cukup sebagai deposit untuk membolehkan bapanya mendapatkan rawatan lanjut di IJN.
